Tuesday, February 2, 2010

LEBIH 400 JUTA PESAKIT ASMA MENJELANG 2025

OLEH

DATUK DR ABDUL RAZAK MUTTALIF

PAKAR PERUNDING RESPIRATORI HOSPITAL PULAU PINANG.

PESAKIT asma mengalami masalah salur udara menjadi sempit hasil inflamasi keradangan sehingga mengganggu aliran udara ke paru-paru.

ASMA atau lelah adalah penyakit saluran udara kronik. Tanda-tanda atau simptom penyakit asma adalah seperti sesak nafas, nafas berbunyi, ketat dada dan batuk.

Bukan semua pesakit asma yang akan mengalami semua simptom yang disebutkan di atas. Hampir 20 peratus pesakit hanya mengalami batuk yang berlanjutan.

Simptom asma adalah disebabkan oleh penyempitan dan inflamasi saluran udara yang boleh berlaku akibat alahan kepada persekitaran, salah makan, ubat-ubatan dan tekanan apabila pesakit terdedah kepada punca-punca yang disenaraikan tadi.
 
Serangan asma berlaku apabila saluran udara menjadi sempit akibat pengecutan otot di sekeliling saluran udara serta tersumbat kerana inflamasi dan rembesan cecair yang banyak dari saluran udara yang membengkak tadi.

Ini akan menyebabkan serangan asma akan berterusan dari beberapa jam sehinggalah kadangkala berbulan-bulan.

Simptom-simptom ini juga mungkin lebih teruk pada waktu subuh dan malam. Walaupun asma tidak boleh sembuh, ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang ada pada masa sekarang.

Setiap pesakit boleh menjalankan aktiviti seperti biasa seperti orang lain jika mereka mematuhi arahan doktor dengan baik.

Punca Asma

Punca sebenar asma masih belum diketahui. Kaitan faktor genetik atau keturunan merupakan salah satu sebab penting dan ini dapat dilihat di mana di kalangan keluarga pesakit asma biasanya terdapat ahli keluarga lain yang menghidap asma, resdung (rhinitis) atau dermatitis (atopy skin disease).

Walaupun punca sebenar asma tidak diketahui, namun punca serangan asma lebih diketahui seperti inflamasi dan saluran udara pesakit asma yang menjadi sempit disebabkan oleh beberapa faktor.

Antara faktor yang menyebabkan serangan asma adalah pesakit menyedut kutu debu, debunga, bulu kucing atau anjing, pencemaran udara, asap rokok, kurang senaman dan kesan beberapa ubat-ubatan.

Adalah penting supaya pesakit asma mengelak dari terdedah kepada semua faktor tersebut. Pesakit juga perlu mengetahui jenis alahan (alergi) masing-masing kerana ia berbeza mengikut individu.

Beban Asma

Dijangka sebanyak 300 juta penduduk dunia kini menghidap asma. Asma selalunya bermula dari zaman kanak-kanak dan akan terus menyerang pesakit untuk jangka masa yang panjang, mungkin sepanjang hayat.

Penyakit kronik ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat menghadiri sekolah atau pekerja terpaksa bercuti sekiranya asma pesakit tidak dikawal dengan baik.

Beberapa kajian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mendapati hampir 50 peratus pesakit asma mengalami beban asma kerana tidak dapat menjalankan tugas-tugas harian, bersenam, bersukan dan bersosial.

Di banyak negara yang kurang maju, penyakit ini kurang dikesan dan mengakibatkan banyak kematian dan kemasukan ke hospital.

Terdapat banyak negara yang tidak mampu memberi rawatan asma yang berkesan supaya ia dikawal dengan baik yang kemudiannya mengakibatkan beban terhadap negara.

Di Malaysia, satu kajian menunjukkan hampir 10 peratus pesakit asma dimasukkan ke wad akibat serangan akut asma dalam masa setahun dan 40 peratus lagi menerima rawatan kecemasan di klinik-klinik swasta dan jabatan kecemasan hospital.

Laporan, Global Burden of Asthma Report juga meramalkan bahawa 100 juta lagi penduduk dunia akan dikesan menghidap penyakit ini sebelum tahun 2025.

Diagnosis Asma

Simptom-simptom, pemeriksaan fizikal dan ujian fungsi paru-paru adalah penting untuk mengesan penyakit asma.

Ujian fungsi paru-paru yang terdiri daripada penggunaan alat spirometri dan “peak flow meter” adalah sangat penting untuk mengesahkan penyakit ini dan juga melihat tahap teruknya penyakit asma.

Di Malaysia, kebanyakan pesakit tidak menjalani ujian-ujian ini semasa lawatan susulan dan juga untuk diagnosis.

Ujian-ujian ini amat penting untuk melihat tahap asma setiap pesakit bagi menentukan kaedah rawatan bersesuaian dan paling berkesan.
 
Rawatan Asma

Inflamasi saluran udara dan pengecutan otot saluran udara yang merupakan dua mekanisma utama serangan asma mengakibatkan pesakit sesak nafas, batuk dan nafas berbunyi. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan atau memulihkan keadaan ini kepada normal.

Pada masa ini, terdapat banyak ubat untuk mengubati penyakit asma dan kebanyakannya adalah secara sedutan.

Ubat sedutan adalah cara yang sangat berkesan kerana ubat yang diberi secara sedutan hanya memerlukan dos yang sangat rendah dan ia akan masuk terus ke dalam saluran udara dan bertindak dengan cepat tanpa memberikan kesan sampingan sistemik.

Ubat rawatan asma boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu ubat sedutan penahan (reliever) dan ubat sedutan pencegah (preventor).

Kedua kumpulan ubat ini biasanya dijual di dalam pelbagai warna tetapi amat penting bagi pesakit mengenal kedua-dua kumpulan ini.

Ubat penahan biasanya mengandungi ubat yang bertindak bagi mengembangkan saluran udara ketika pesakit mengalami serangan akut manakala ubat untuk mencegah (preventor) mengandungi dos steroid yang agak rendah dan berfungsi sebagai anti-inflamasi bagi mencegah serangan akut asma.

Kandungan steroid yang rendah dalam sedutan ini tidak akan memberi kesan sampingan yang teruk kepada pesakit sekiranya digunakan mengikut arahan doktor berbanding ubat steroid yang diambil secara oral.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa ubat steroid boleh mengurangkan serangan akut dan juga kematian akibat asma.

Ramai orang yang takut menggunakan steroid disebabkan oleh kesan sampingannya tetapi anggapan ini adalah kurang tepat kerana hanya dos yang rendah terdapat di dalam ubat sedutan.

Apabila pesakit tidak menggunakan ubat sedutan steroid seperti yang diarahkan, ini akan mengakibatkan kurangnya kawalan terhadap penyakit asma.

Ini berbeza dengan ubat menahan (reliever). Jika pesakit kerap menggunakan ubat menahan (reliever), terdapat banyak kesan sampingan dan asma juga tidak dapat dikawal dengan baik.

Kajian membuktikan lebih banyak kematian dikesan di kalangan pesakit sekiranya ubat penahan (reliever) digunakan lebih banyak dari ubat pencegah (preventor).

Jika seseorang pesakit asma mengalami serangan asma lebih dari dua kali seminggu, pesakit perlu menggunakan kedua-dua jenis ubat sedutan tersebut.

Yang penting adalah penggunaan ubat sedutan pencegah (preventor) setiap hari, walaupun jika tiada tanda-tanda serangan asma.

Dos dan kekerapan pengambilan ubat mungkin perlu ditingkatkan bergantung kepada kawalan asma pesakit.

Kemajuan sains dan teknologi terkini juga telah membawa kepada kombinasi ubat penahan (reliever) dan pencegah (preventor) dalam satu alat sedutan.

Di samping itu, terdapat beberapa jenis ubat sedutan dan ubatan biji baru yang sangat berkesan untuk mengawal serangan asma.

Selain itu, cara pemberian sedutan (inhaler device) juga telah dipelbagaikan bagi memudahkan pesakit dari setiap peringkat umur menggunakannya.

Hari Asma Sedunia 2008

Setiap tahun, Hari Asma Sedunia diraikan pada hari Selasa pertama setiap bulan Mei. Pada tahun ini, ia jatuh pada 6 Mei 2008.

Tema pada tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iaitu, “Anda boleh mengawal asma anda” (You can control your asthma).

Kawalan asma boleh dicapai oleh hampir semua pesakit dengan rawatan yang tepat. Untuk itu, adalah penting supaya empat strategi di bawah diikuti :
  1. Perkongsian antara pesakit dan doktor (Develop patient/ doctor partnership)
  2. Mengetahui dan mengelak alahan atau faktor risiko serangan asma akut.
  3. Merawat dan memantau asma.
  4. Merawat serangan akut asma dengan segera.
Dengan adanya empat strategi ini dan ubat-ubatan yang berkesan, setiap pesakit boleh mengawal asma mereka dengan baik.
 
Tema tahun ini juga memastikan setiap golongan, terdiri daripada pesakit, doktor, orang awam dan kerajaan memainkan peranan masing-masing supaya kawalan penyakit asma terus ditingkatkan.

KESIHATAN OPTIMUM PENGHIDAP ASMA


Oleh

DR. RAJBANS SINGH

ASMA merupakan penyakit kronik atau gangguan respiratori yang menjejaskan saluran pernafasan anda, iaitu tiub yang membawa udara keluar dan masuk ke paru-paru anda.

Sesetengah daripada perkara-perkara paling biasa yang mendatangkan simptom-simptom asma termasuk senaman, alergen, pencemaran udara, perengsa dan jangkitan virus. Penghidap asma mengalami batuk yang berterusan, berdehit, sesak dada dan kesukaran bernafas.

Walaupun asma menjejaskan kehidupan pada semua peringkat umur, ia paling sering berlaku pada peringkat zaman kanak-kanak.

Lebih ramai budak lelaki menghidap asma berbanding budak perempuan, tetapi pada peringkat dewasa, ia menjadi terbalik di mana lebih ramai wanita yang menghidap asma berbanding lelaki.

Ketika zaman kanak-kanak, Sarah (bukan nama sebenar) menghidap asma. Ibu bapanya sering mengejarkannya ke wad kecemasan apabila mereka mendapati beliau tidak bernafas atau bergelut untuk bernafas.

Batuk, berdehit dan sesak dada menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya. Kemudian anak yang sakit itu mula melakukan senaman ringan dan pada usia 13 tahun, simptom-simptom tersebut lenyap.

Tetapi, pada usia 42, sebagaimana pantas simptom-simptom itu lenyap sewaktu usia remaja, ia tiba-tiba muncul semula dan Sarah tidak tahu di mana silapnya.

Beliau kembali bergantung pada alat sedutnya. Beliau berasa ini disebabkan oleh gaya hidup yang sibuk, diet yang teruk, ketegangan kerja dan kurang bersenam.

Bertekad untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti, beliau mendapatkan seorang jurulatih peribadi yang mengembalikan beliau kepada kehidupan yang sejahtera.
 
Dalam masa setahun, semua simptom itu lenyap dan kini pada usia 61, penyakit asma Sarah dapat dikawal dan beliau benar-benar sihat.

Asma tidak boleh dicegah atau disembuhkan, tetapi kebanyakan orang dengan asma boleh mengawalnya sehingga mereka mempunyai simptom yang sedikit dan jarang-jarang serta boleh menjalani hidup yang normal dan aktif.

Senaman adalah penting untuk penghidap asma tetapi mulakannya dengan berjalan atau berenang yang boleh membantu mengembangkan paru-paru.

Diet adalah komponen penting untuk penghidap asma, terutama jika mereka mengambil steroid.

Diet yang sihat termasuk makanan dari setiap kumpulan (karbohidrat, protein dan lemak) boleh memperbaiki sesetengah kesan pemakanan akibat terapi steroid.

Jika diambil untuk tempoh yang lama, steroid boleh meningkatkan risiko osteoporosis. Oleh itu adalah penting untuk mengambil suplemen kalsium.

Untuk mencegah kesan sampingan yang lain, hadkan penggunaan garam dan makanan yang tinggi kandungan natrium serta mengurangkan jumlah kolesterol dan lemak dalam diet anda.

Penghidap asma masih boleh menjalani hidup normal tetapi anda perlu tahu apa yang mencetuskannya.

Kemudian lakukan apa yang anda boleh untuk mengelak atau mengehadkan pengambilan benda-benda itu.

Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat memberikan petua-petua berikut :
  1. Jika bulu haiwan adalah satu masalah, pastikan haiwan kesayangan anda berada di luar rumah atau sekurang-kurangnya di luar bilik tidur anda.
  2. Jangan merokok atau membenarkan perbuatan merokok dalam rumah anda.
  3. Jika debunga memberi kesan kepada anda, duduk dalam rumah dengan penyaman udara terpasang, jika boleh, apabila jumlah debunga adalah tinggi.
  4. Untuk mengawal hama habuk, cuci cadar, selimut, sarung bantal, dan barang mainan lembut seminggu sekali dalam air panas. Anda boleh mendapatkan sarung kalis habuk yang khas untuk tilam dan bantal anda.
  5. Jika anda mempunyai simptom-simptomnya ketika bersenam atau melakukan rutin aktiviti fizikal seperti menaiki tangga, bincang dengan doktor anda untuk mencari cara-cara menjadi aktif tanpa mendapat simptom-simptom asma. Aktiviti fizikal adalah penting.
  6. Jika anda alah terhadap bahan sulfat, elakkan makanan seperti buah-buahan kering atau minuman (seperti wain) yang mengandunginya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...